Ayam Kampung Terancam
Oleh Azhar
Kasim
Utusan Malaysia, 27 Jun 2007
Utusan Malaysia, 27 Jun 2007
Ayam kampung adalah panggilan bagi ayam yang dipelihara secara lepas. Di beberapa buah negara Barat ia dikenali sebagai free ranging chicken atau organic chicken.
Nama-nama
ini sudah jadi sebutan biasa kerana ayam jenis ini bergerak bebas di lapangan
sama ada ia dipelihara di kawasan bandar, pinggiran bandar dan luar
bandar.
Di
lapangan ayam ini berpeluang bergerak aktif mencari makanan tambahan dalam
bentuk semula jadi terdiri daripada haiwan kecil seperti belalang, ulat dan
cacing serta bahan daripada tumbuhan seperti bijirin, buah dan dedaun termasuk
dari spesies tumbuhan herba. Secara tidak langsung kawasan yang lapang
dimanfaatkan dengan pemeliharaan ayam kampung.
Pergerakan
otot yang aktif serta pengambilan makanan berunsur organik menghasilkan daging
yang lazat dan berkhasiat tinggi.
Ciri
daging yang enak melonjakkan harga ayam kampung ke tahap lebih tinggi daripada
ayam daging komersial. Ayam kampung adalah sumber penting bagi memperoleh
pendapatan tambahan tanpa pelaburan modal yang tinggi.
Modal
permulaan hanya diperlukan bagi menyediakan reban yang sesuai. Makanan asas
lazimnya adalah sisa dari dapur dan bahan lebihan dari santapan keluarga.
Asal usul
ayam kampung memang menarik. Faktor geografi dan sejarah menyatakan tidak wujud
ayam secara semula jadi di benua Eropah dan Amerika Utara atas faktor cuaca
bermusim yang terlampau sejuk. Walau bagaimanapun ayam belanda (tidak serupa
dengan ayam), saudara terdekat kepada ayam kampung, wujud di Amerika
Tengah.
Kini ayam
kampung boleh hidup di merata dunia kerana manusia memahami keperluan bagi
disediakan tempat perlindungan pada musim sejuk. Ayam kampung adalah warisan
dari campuran beberapa jenis ayam baka moden.
Ayam baka
moden terhasil dari kacukan terancang yang pada peringkat awal melibatkan empat
spesies ayam hutan. Ayam hutan masih wujud dalam keadaan liar dan hanya
terdapat di sekitar Asia Tenggara, Indo-China, India dan Sri Lanka sahaja.
Spesies ayam hutan tempatan kita (Red Jungle Fowl) iaitu gallus gallus adalah
spesis yang paling berjaya dikacukkan dengan tiga spesies ayam hutan yang
lain.
Penjajah
membawa pulang ayam hutan dari Asia ke negara mereka dan usaha kacukan dan
pembiakbakaan melebihi dua kurun, yang turut dilakukan di Amerika, akhirnya
berjaya menghasilkan ayam yang sesuai diternak untuk daging dan telur.
Baka moden
berasal dari luar negara berbadan jauh lebih besar daripada ayam hutan, seperti
New Hampshire, Plymouth Rock, Rhode Island Red, Cornish, Canton, Brown Leghorn
dan Australorp dibawa masuk melalui program kerajaan. Jabatan Perkhidmatan
Haiwan sendiri pada awal tahun 70-an pernah menghasilkan baka kacukan tempatan
dinamakan ayam baka Johor (singkatannya ABJ).
Semua
baka-baka ini mempunyai bulu warna bukan putih dan kecantikan ayam-ayam ini
mendorong orang ramai memelihara di kampung-kampung.
Warisan
Perkahwinan
bebas antara berbagai baka dan keturunan mereka dalam pemeliharaan secara
berlepas selama beberapa dekad dan makanan yang terhad telah secara semula jadi
mempengaruhi perubahan saiz asal yang besar kepada warisan ayam yang kecil
sedikit, ramping dan sangat lasak yang dipanggil dengan nama ayam
kampung.
Saiz ayam
kampung menjadi bertambah kecil dengan kemasukan gen asli berpunca dari
berkahwin dengan ayam hutan tempatan.
Sekecil-kecilnya
ayam kampung tetapi dagingnya tetap jadi sukaan ramai.
Selesema
burung yang melanda Asia Tenggara turut mengancam ayam kampung. Kes kematian
ayam kampung di Gombak beberapa bulan yang lepas dan di Kampung Paya Jaras
dalam tempoh sebulan yang lepas akibat jangkitan selesema burung telah
menimbulkan tanda tanya tentang peraturan yang bakal dikenakan oleh pihak berkuasa
terhadap pemeliharaan ayam kampung.
Jabatan
Perkhidmatan Haiwan melalui laporan akhbar menyatakan bahawa terdapat bukti
yang konsisten bahawa selesema burung mempunyai kaitan yang rapat dengan ayam
jenis laga yang mungkin diseludup masuk dari negara-negara jiran yang masih
dilanda selesema burung. Rupa dan saiz ayam jenis laga adalah jauh berbeza
dari ayam kampung sebenar iaitu warisan daripada zaman sejak merdeka
dulu.
Bersesuaianlah
ayam kampung ini dengan panggilan ayam kampung tradisional. Ayam kampung
tradisional ini mudah dipasarkan untuk tujuan daging berbanding dengan ayam
jenis laga.
Kawasan
berisiko tinggi bagi jangkitan selesema burung kepada ayam kampung tradisional
telah dikaitkan dengan kawasan yang berhampiran dengan kediaman pekerja asing
ataupun rakyat tempatan yang mungkin terlibat dengan aktiviti melaga ayam dan
penyeludupan ayam hidup iaitu aktiviti-aktiviti yang telah diharamkan.
Ayam laga
mudah dicam kerana ia lebih tinggi dan berdiri tegap. Ayam kampung tradisional
pula lebih mirip kepada bentuk badan ayam hutan.
Tindakan
yang paling wajar bagi pihak berkuasa ialah mengharamkan pemeliharaan ayam
laga. Ayam jenis laga pula bukan pilihan bagi mereka yang biasa dengan keenakan
makan daging ayam kampung tradisional.
Pemeliharaan
ayam kampung tradisional di kawasan bandar dan pinggiran bandar yang mempunyai
kawasan lapang wajar diteruskan.
Larangan
pemeliharaan ayam kampung tradisional adalah sesuai bagi kawasan perumahan
bercirikan teres dan flat kerana ia dikaitkan dengan ketidakselesaan penduduk
berpunca dari tinja ayam.
Kokokan
sayu ayam kampung tradisional yang memecah sepi pagi adalah satu keindahan yang
perlu dikekalkan baik di kawasan bandar ataupun pinggiran bandar.
* PROF. MADYA DR. AZHAR KASIM ialah
Ketua Jabatan Sains Haiwan Fakulti Pertanian,
Universiti Putra Malaysia (UPM).