05 June 2015

Ayam Kampung Terancam



Ayam Kampung Terancam

Oleh Azhar Kasim 
Utusan Malaysia, 27 Jun 2007 


Ayam kampung adalah panggilan bagi ayam yang dipelihara secara lepas. Di beberapa buah negara Barat ia dikenali sebagai free ranging chicken atau organic chicken

Nama-nama ini sudah jadi sebutan biasa kerana ayam jenis ini bergerak bebas di lapangan sama ada ia dipelihara di kawasan bandar, pinggiran bandar dan luar bandar. 

Di lapangan ayam ini berpeluang bergerak aktif mencari makanan tambahan dalam bentuk semula jadi terdiri daripada haiwan kecil seperti belalang, ulat dan cacing serta bahan daripada tumbuhan seperti bijirin, buah dan dedaun termasuk dari spesies tumbuhan herba. Secara tidak langsung kawasan yang lapang dimanfaatkan dengan pemeliharaan ayam kampung. 

Pergerakan otot yang aktif serta pengambilan makanan berunsur organik menghasilkan daging yang lazat dan berkhasiat tinggi. 

Ciri daging yang enak melonjakkan harga ayam kampung ke tahap lebih tinggi daripada ayam daging komersial. Ayam kampung adalah sumber penting bagi memperoleh pendapatan tambahan tanpa pelaburan modal yang tinggi. 

Modal permulaan hanya diperlukan bagi menyediakan reban yang sesuai. Makanan asas lazimnya adalah sisa dari dapur dan bahan lebihan dari santapan keluarga. 

Asal usul ayam kampung memang menarik. Faktor geografi dan sejarah menyatakan tidak wujud ayam secara semula jadi di benua Eropah dan Amerika Utara atas faktor cuaca bermusim yang terlampau sejuk. Walau bagaimanapun ayam belanda (tidak serupa dengan ayam), saudara terdekat kepada ayam kampung, wujud di Amerika Tengah. 

Kini ayam kampung boleh hidup di merata dunia kerana manusia memahami keperluan bagi disediakan tempat perlindungan pada musim sejuk. Ayam kampung adalah warisan dari campuran beberapa jenis ayam baka moden. 

Ayam baka moden terhasil dari kacukan terancang yang pada peringkat awal melibatkan empat spesies ayam hutan. Ayam hutan masih wujud dalam keadaan liar dan hanya terdapat di sekitar Asia Tenggara, Indo-China, India dan Sri Lanka sahaja. Spesies ayam hutan tempatan kita (Red Jungle Fowl) iaitu gallus gallus adalah spesis yang paling berjaya dikacukkan dengan tiga spesies ayam hutan yang lain. 
Penjajah membawa pulang ayam hutan dari Asia ke negara mereka dan usaha kacukan dan pembiakbakaan melebihi dua kurun, yang turut dilakukan di Amerika, akhirnya berjaya menghasilkan ayam yang sesuai diternak untuk daging dan telur. 

Baka moden berasal dari luar negara berbadan jauh lebih besar daripada ayam hutan, seperti New Hampshire, Plymouth Rock, Rhode Island Red, Cornish, Canton, Brown Leghorn dan Australorp dibawa masuk melalui program kerajaan. Jabatan Perkhidmatan Haiwan sendiri pada awal tahun 70-an pernah menghasilkan baka kacukan tempatan dinamakan ayam baka Johor (singkatannya ABJ). 


Semua baka-baka ini mempunyai bulu warna bukan putih dan kecantikan ayam-ayam ini mendorong orang ramai memelihara di kampung-kampung. 

Warisan 


Perkahwinan bebas antara berbagai baka dan keturunan mereka dalam pemeliharaan secara berlepas selama beberapa dekad dan makanan yang terhad telah secara semula jadi mempengaruhi perubahan saiz asal yang besar kepada warisan ayam yang kecil sedikit, ramping dan sangat lasak yang dipanggil dengan nama ayam kampung. 

Saiz ayam kampung menjadi bertambah kecil dengan kemasukan gen asli berpunca dari berkahwin dengan ayam hutan tempatan. 

Sekecil-kecilnya ayam kampung tetapi dagingnya tetap jadi sukaan ramai. 

Selesema burung yang melanda Asia Tenggara turut mengancam ayam kampung. Kes kematian ayam kampung di Gombak beberapa bulan yang lepas dan di Kampung Paya Jaras dalam tempoh sebulan yang lepas akibat jangkitan selesema burung telah menimbulkan tanda tanya tentang peraturan yang bakal dikenakan oleh pihak berkuasa terhadap pemeliharaan ayam kampung. 

Jabatan Perkhidmatan Haiwan melalui laporan akhbar menyatakan bahawa terdapat bukti yang konsisten bahawa selesema burung mempunyai kaitan yang rapat dengan ayam jenis laga yang mungkin diseludup masuk dari negara-negara jiran yang masih dilanda selesema burung. Rupa dan saiz ayam jenis laga adalah jauh berbeza dari ayam kampung sebenar iaitu warisan daripada zaman sejak merdeka dulu. 

Bersesuaianlah ayam kampung ini dengan panggilan ayam kampung tradisional. Ayam kampung tradisional ini mudah dipasarkan untuk tujuan daging berbanding dengan ayam jenis laga. 

Kawasan berisiko tinggi bagi jangkitan selesema burung kepada ayam kampung tradisional telah dikaitkan dengan kawasan yang berhampiran dengan kediaman pekerja asing ataupun rakyat tempatan yang mungkin terlibat dengan aktiviti melaga ayam dan penyeludupan ayam hidup iaitu aktiviti-aktiviti yang telah diharamkan. 

Ayam laga mudah dicam kerana ia lebih tinggi dan berdiri tegap. Ayam kampung tradisional pula lebih mirip kepada bentuk badan ayam hutan. 

Tindakan yang paling wajar bagi pihak berkuasa ialah mengharamkan pemeliharaan ayam laga. Ayam jenis laga pula bukan pilihan bagi mereka yang biasa dengan keenakan makan daging ayam kampung tradisional. 

Pemeliharaan ayam kampung tradisional di kawasan bandar dan pinggiran bandar yang mempunyai kawasan lapang wajar diteruskan. 

Larangan pemeliharaan ayam kampung tradisional adalah sesuai bagi kawasan perumahan bercirikan teres dan flat kerana ia dikaitkan dengan ketidakselesaan penduduk berpunca dari tinja ayam. 

Kokokan sayu ayam kampung tradisional yang memecah sepi pagi adalah satu keindahan yang perlu dikekalkan baik di kawasan bandar ataupun pinggiran bandar. 


* PROF. MADYA DR. AZHAR KASIM ialah Ketua Jabatan Sains Haiwan Fakulti Pertanian, 
Universiti Putra Malaysia (UPM).